Hari Rabu 25hb Oktober, 1978
PENYATA RASMI PARLIMEN
PARLIAMENTARY DEBATES
DEWAN RAKYAT
House of Representatives
PARLIMEN KELIMA
Fifth Parliament
PENGGAL PERTAMA
First Session
FREEMASON
4. Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat bertanya kepada Perdana Menteri menyatakan secara lengkap:
(a) apakah jenayah yang dilakukan oleh seorang ahli Freemason, yang memerlukan ia bertaubat dan menjauhkan diri
dari kumpulan itu; dan
(b) samada pihak yang berkenaan baru saja sedar berkenaan dengan jenayah-jenayah itu setelah selesai kajian dibuat
oleh Bahagian Ugama di Jabatan Perdana Menteri. Jika kesedaran itu telah lama diketahui mengapa baru sekarang orang ramai dinasihatkan supaya bertaubat dan menjauhkan diri dari pertubuhan itu.
Perdana Menteri:
Tuan Yang di-Pertua, bagi menjawab soalan (a), seseorang Islam yang memasuki pertubuhan Freemason akan melibatkan dirinya dalam perkara-perkara yang boleh merosakkan akidahnya sebagai orang Islam. Oleh yang demikian, ia adalah melakukan amalan yang menyalahi ajaran ugama Islam.
Mengenai soalan (b), Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada bulan Ogos tahun ini telah melantik sebuah
jawatankuasa untuk mengkaji tentang kegiatan-kegiatan Freemason. Setelah menjalankan kajiannya, Jawatankuasa itu berpendapat bahawa kegiatan Freemason pada keseluruhannya adalah bertentangan dengan akidah Islam. Selepas ada pengesahan dari Jawatankuasa itu, maka barulah orang-orang Islam dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari pertubuhan itu, atau sekiranya telah melibatkan diri supaya menarik diri dan bertaubat.
Tuan Yang di-Pertua, molek juga saya mengambil kesempatan ini memberi keputusan-keputusan Jawatankuasa yang saya sebutkan itu. Berdasarkan kepada kajian yang teliti dan mendalam oleh Jawatankuasa itu mengenai Freemason, maka keputusannya adalah seperti berikut:
(1) Freemasonry adalah suatu kepercayaan yang berdasarkan ketuhanan.
(2) Ugama bagi Freemasonry adalah hak peribadi.
(3) Freemasonry tidak mengakui nama sebarang Tuhan tetapi mempercayai adanya suatu Kuasa iaitu Supreme Being.
(4) Konsep ketuhanan Freemasonry adalah berdasarkan konsep rubu-riak, iaitu mempercayai adanya Tuhan tetapi tidak mengikut syariat mana-mana ugama.
(5) Amalan dalam Freemasonry terbahagi dua. Pertamanya amalan upacara (ritual) dan kedua, amalan kemasyarakatan
di antara ahli-ahli. Amalan upacara mengikut mereka adalah amalan berpunca dari adat-istiadat di zaman Nabi Allah Sulaiman seperti sewaktu bersumpah dengan berkaki ayam, menyinsing kaki seluar sebelah kanan, meletakan seutas tali di leher, menghunus pedang ke dada dan sebagainya. Amalan sosial ialah memberi pertolongan kepada ahli-ahlinya sahaja dengan menggunakan code rahsia atau pertolongan kepada sebarang pertubuhan yang difikirkan sesuai oleh mereka. Freemasonry juga mengadakan upacara perjumpaan yang berkala diantara ahli-ahlinya untuk meyakinkan ahli-ahlinya bahawa ajaran Freemasonry adalah yang paling tinggi mengatasi segala ajaran ugama.
(6) Matlamat Freemasonry mewujudkan satu fahaman yang dapat mengatasi segala konsep ugama yang bertujuan membentuk kekuasaan sejagat tanpa ugama yang tertentu.
Dengan berdasarkan kesimpulan di atas maka Jawatankuasa itu berpendapat bahawa Freemasonry pada keseluruhannya bertentangan dengan akidah Islam.
Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat:
Oleh kerana memandangkan bahawa Freemason itu begitu bahaya dan menyentuh akidah Islam, maka apakah satu cara bertaubat yang perlu diberikan kepada orang ramai supaya orang ramai sedar bahawa dengan cara bertaubat ini sahajalah ia akan bersih daripada dosa yang begitu besar?
Yang kedua, bagaimanakah pandangan Kerajaan bahawa terdapat di antara pemimpin-pemimpin tanahair kita khususnya
pemimpin-pemimpin setengah-setengah badan dakwah yang menjadi ahli Freemason.
Perdana Menteri:
Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan soalan pertama, Kerajaan telah menerangkan pendapat Jawatankuasa
ini dan mana-mana ahli samada orang-orang dalam Kerajaan ataupun di luar Kerajaan, dengan keterangan yang diberi oleh Jawatankuasa yang saya sebutkan tadi iaitu pertubuhan Freemason itu adalah bersalahan dengan akidah ugama kita, maka itulah diminta kalau belum tercebur di dalamnya supaya jangan tercebur dan jika telah tercebur
di dalamnya hendaklah bertaubat dan cara bertaubat itu kita mengikutlah cara yang biasa kita bertaubat.
Datuk Haji Abu Bakar bin Umar:
Soalan tambahan. Adakah Kerajaan bercadang untuk mengharamkan dari segi undangundang terhadap pertubuhan Freemason yang ada di dalam negara kita sekarang?
Perdana Menteri:
Tuan Yang di-Pertua,masalah itu pun dikaji juga daripada segi undang-undang dan didapati tidak ada sebab-sebab yang boleh mengharamkan pertubuhan seperti ini, kerana yang dikatakan salah ini ialah salah daripada segi merosakkan akidah bagi orang Islam, tetapi bagi yang bukan Islam dia tidak menjadi soal dan tidak ada kelihatan sebab-sebab yang kita boleh mengharamkan dari segi undangundang pertubuhan ini.
Tuan Haji Mohd. Idris bin Haji Ibrahim:
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Saya hendak bertanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam kajian Jawatankuasa Bahagian Ugama mengenai masalah Freemason ini, dapatkah atau tidak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjelaskan:
Pertama, sejauh manakah pengaruh Freemason ini wujud di dalam negara kita?
Kedua, berapa banyakkah orang-orang atau berapa ramaikah orang-orang yang betul-betul terlibat dalam gerakan
Freemason ini?
Perdana Menteri:
Tuan Yang di-Pertua, Freemason sudah wujud di negara kita selama 150 tahun mulai di Pulau Pinang dan tak ada bukti-bukti yang menunjukkan iaitu dengan tertubuhnya pertubuhan itu ia mengancam negara kita samada dari segi sosial ataupun keselamatan. Itulah yang saya katakan tadi tak ada sebab yang kita boleh mengharamkan pertubuhan itu dari segi undang-undang.
Berkenaan dengan bilangan orang-orang yang terlibat iaitu orang-orang Islam, saya tak dapatlah memberi butirnya dan saya berkehendakkan notis.
Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat:
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Kalau tak silap saya dalam bulan Julai yang lepas, satu jawapan diberi oleh pihak Kerajaan bahawa Freemason ini tidak ada hubungannya dengan Zionism tetapi daripada jawapan yang kita dengar hari ini timbul nama Nabi Allah Sulaiman yang dengan sendirinya ada hubungan dengan Yahudi. Soalnya manakah di antara satu jawapan yang boleh dipegang?
Tuan Yang di-Pertua:
Yang terbaru sekali, yang dahulu itu belum selesai lagi penyiasatan oleh Jawatankuasa yang berkenaan.
Perdana Menteri:
Tuan Yang di-Pertua, saya faham. Benarkan saya menjawab Sungguhpun ada asal usul berkaitan dengan Nabi Allah Sulaiman, apabila Ahli Yang Berhormat membangkitkan samada ada hubungan dengan Zionism dalam hubungan sekarang ahli-ahli Freemason tak ada bukti yang menunjukkan mereka yang ada sekarang ini ada hubungan dengan kumpulan Zionism itu.
Datuk Haji Abu Bakar bin Umar:
Soalan tambahan. Dalam kajian Jawatankuasa berkenaan Freemason ini dapatkah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menerangkan kepada Dewan ini kenapakah kalau kita tengok senarai ahli-ahli Freemason itu keseluruhannya terdiri daripada orang-orang besar, gajinya mahal ataupun negarawan pun ada dan tidak ada pula termasuk orang-orang yang kecil-kecil macam saya.
Tuan Yang di-Pertua:
Ini kecil badankah atau kecil apa?
Datuk Haji Abu Bakar bin Umar:
Pangkatnya besar. Kenapakah orang-orang yang mempunyai kedudukannya yang tinggi dalam masyarakat dan dalam mencari ahli tak mahu pula mengambil ahli yang tidak ada kedudukan dalam masyarakat.
Perdana Menteri:
Itu wallahualam bissawab (Ketawa).
Tuan Haji Mohd. Idris bin Haji Ibrahim:
Soalan tambahan. Saya hendak bertanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengikut kajian kita tahu Freemason telah wujud dalam negara kita lebih dari 100 tahun, setakat pengetahuan dalam kajian, adakah pergerakan ini pernah mengancam keselamatan negara dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua:
Sudah dijawab oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi.
Tuan Mohd. Nakhai bin Haji Ahmad:
Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Oleh kerana di dalam Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menasihatkan angkatan muda supaya jangan mudah terpengaruh dengan fahaman asing yang menyekat kebebasan, tidakkah menerusi pergerakan Freemason ini dapat dijadikan oleh setengah golongan sebagai saluran untuk menyebarkan fahaman asing yang berbahaya itu? Kedua, tidakkah Kerajaan mencurigai bahawa dengan mempengaruhi orang-orang atasan sebagai anggotanya, ini boleh menimbulkan ataupun boleh mempengaruhi dan dapat dijadikan saluran untuk mempengaruhi pentadbiran dan dasar-dasar dalam negeri walaupun dengan secara tidak langsung.
Perdana Menteri:
Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan soalan pertama, saya katakan tak ada bukti yang menunjukkan iaitu pertubuhan ini ada pengaruhnya dan boleh mendakyah atau influence dasar luar atau polisi luar negeri di dalam negara kita.
Berkenaan dengan ahli-ahlinya, kita juga tak ada bukti yang menunjukkan ahli-ahli ini adalah terpengaruh sampai boleh terkeluar daripada tanggungjawab dan taat setianya kepada negara kita ketika dia menjalankan tugasnya. Bukti-buktinya tidak ada. Jikalau ada, tentu tindakan akan diambil atas seseorang itu, bukan atas pertubuhan itu.
Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat:
Bolehkah pihak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersetuju dengan saya bahawa bila seseorang berkeyakinan bahawa tidak ada Tuhan yang bernama Allah bahkan Tuhan itu begitu sahaja—self-free, maka kita berkeyakinan ini boleh mempengaruhi hidupnya dan hidup orang yang di bawahnya dengan cara menyiarkan fahaman atheist
atau fahaman ilhak, free thinker dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua:
Ini soalan Tauhid. Mengikut Standing Order 23 (i) tak bolehlah tanya fikiran. Saya bacakan:
"Sesuatu pertanyaan tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapatkan buah fikiran "
dan panjang lagi. Saya bacakan setakat itu.
Puan Shariffah Dorah binti Mohammed:
Soalan tambahan. Bolehkah Yang Amat Berhormat. Perdana Menteri menerangkan bahawa adakah benar Lions Club dan Rotary Club ini di mana tempat kegiatan Freemason ini berselindung?
Tuan Yang di-Pertua:
Ini sudah terkeluar daripada Freemason. Rotary Club dan Lions Club sudah berlainan.
No comments:
Post a Comment