Catatan Srikandi X
Catatan Srikandi X
Penafian/Disclaimer: Setakat ini penulis iaitu Srikandi/Cik Seri tidak mempunyai sebarang akaun Facebook.Akaun Facebook yang menggunakan nama penulis dan hasil kajiannya ialah peminat yang berlagak seperti penulis.Penulis tidak menghalang mana-mana fans membuka medium penyebaran namun menyamar dengan mengekploitasikan nama penulis dan kajiannya adalah sesuatu yang tidak beretika dan memalukan.Penulis menganjurkan (recommendation) akaun fans seperti FB Alter Terahsia Bangsa Melayu dan FB Mistisfiles (admin kedua-duanya tiada kaitan dengan Mistis Organization) yang walaupun menggunakan nama dan kajian tetapi tidak berlagak seolah-olah penulis atau dari organisasi.Harap maklum.
"The girl who sold the world"
Kadang-kadang pada waktu malam,sebelum melelapkan mata,saya selalu memandang siling sambil berangan-rangan.Tipikal gadis yang perasan dirinya kanak-kanak manja.Hmmm.Kadang-kadang saya fikir masa depan,kadang kadang saya fikirkan kematian.Oh.
Sambil memandang bintang-bintang 'glow in the dark' di siling saya terus berangan-rangan tentang kisah-kisah lampau saya.Kenangan bersama ibu dan ayah.Saya terkenangkan wajah ibu yang lembut dan jelita.Tipikal wanita Melayu 'terakhir'.Kenangan bersama ibu dan ayah menyesak-nyesak dalam memori.Kadang-kadang saya tersenyum sendiri,kadang-kadang sedar tak sedar,air mata tumpah ke pipi.
Kenangan itu bagaikan kabus lautan di pagi hari.Bila kita mahu mencapainya,kita tidak menemui apa-apa.Kekosongan.
Pada malam yang sepi itu saya terdengar bunyi muzik dari rumah seberang.Rumah yang diduduki anak-anak bujang pelajar universiti (?) yang minat muzik dan gajet-gajet mahal.Tapi bergantung harap pada pinjaman PTPTN.Cuma sesetengah dari mereka yang saya diberitahu (sudah tentu saya pernah berborak dengan mereka) memiliki bisnes MLM yang 'membanggakan'.
"Grandma take me home...*
grandma take me home...."
Saya memeluk bantal Garfield saya,kemudian mula berangan jauh ketika kecil,saya teringatkan bapa saudara saya.Kami memanggilnya "paksu" sebab dia yang paling bongsu.Paksu memang 'rugged' orangnya.Dia memang hantu muzik.Zaman itu muzik rock di Malaysia memasuki era 'leleh' dan 'lentuk' dengan vokal mendayu-dayu dan struktur lagu yang lebih 'emo' (My Chemical Romance versi Melayu) dan meleret-leret.Namun ketika itu paksu saya sudah melayan muzik 'Seattle sound' seperti Mudhoney,Pearl Jam dan Soundgarden.Ada yang saya tertinggal?
Saya tidak terkejut jika di kala itu ada anak muda kita yang mula menjelajah versi muzik baru setidak-tidaknya The Pixies dan R.E.M yang menjadi rujukan band-band grunge itu.Butterfingers pernah dikritik kerana 'Seattle sound'nya dan OAG mula mendapat perhatian.
"Said why don't you stop your crying
Go outside and ride your bike
Thats what I did, I killed my toe..."
Saya benar-benar rindukan paksu.Paksu seorang yang tampan.Saya akuinya.Zaman itu remaja lelaki suka memakai baju flannel atau kemeja kotak dengan t-Shirt di dalam.Dengan jeans yang tak berbasuh selama berbulan-bulan dan memakai baju kumal atau baju bundle (oh ya...saya fikir tahun 1993-1994 ialah permulaan zaman bundle di Malaysia) yang lusuh,mereka mula melalak lagu-lagu Nirvana.Paksu sanggup menghabiskan duit kerjanya semata-mata untuk membeli gitar karan (electric guitar).Selepas itu dia membeli overdrive pedal dan kemudian distortion membuatkan atuk saya mengamuk dengan bunyi bingit dari biliknya.
"Dalam rekod purba dari manuskrip-manuskrip Mon dan Pyu city-states,terdapat satu petunjuk mengenai kerajaan Kunlun Besar yang dijumpai dalam rekod para pengembara Cina...," Sophie Jan Rothsmarck,gadis Jerman yang sempat bersama saya dalam satu program pada Disember 2008 yang lalu.
"Dimana tu?" saya bertanya kepada Sophie.
"Dalam manuskrip yang ditulis ketika era pemerintahan Alaungsithu dari kerajaan Pagan di Burma.Lihat fragmen ke-35,menunjukkan bahawa raja 'Ayi' mempunyai kegemaran melaga ayam dan menyimpan 'pisau' sebagai perhiasan selain senjata.Manuskrip ini ditulis berdasarkan 19 catatan suci pada daun yang ditulis oleh para pendeta Buddha ketika kewujudan Pyu city-states," Sophie menjawab panjang lebar.
Saya melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Sophie pada jurnal para pengkaji Burma dan Lao yang dikeluarkan pada Mei 1996."Kira-kira abad ke-2 Sebelum Masehi...catatan-catatan dari orang-orang Pyu yang sudah pupus pada hari ini mengatakan tentang satu kerajaan yang berjiran dengan mereka...," saya berbisik perlahan.
"What do you think,Siti?" Sophie merenung mata saya,meminta pandangan.
Saya membacakan catatan pengembara China,dari rekod Sin Tang Chou:
"Dari Mi-tchen,kami tiba di Kouen-lang di mana hidup satu puak dari Kunlun Kecil;rajanya bernama Mang-si-yue;budayanya sama seperti Mi-tchen.Dari Kouen-lang,kami telah di Lou-yu di mana ia adalah kerajaan bagi raja Kunlun Besar.Rajanya bernama Seu-li-po-po-na-ta-chan-na.Negerinya lagi besar dari Mi-tchen.Dari sini kami tiba di Tcha iaitu di Moti-pa dalam masa separuh hari".
Saya mengalihkan pandangan kepada gadis Jerman itu.
"Sophie,Lou-yu adalah nama orang-orang Cina Purba berikan kepada orang Melayu pada masa lalu berdasarkan panggilan orang Melayu sendiri kepada nama bangsa mereka iaitu 'Malayu'.Dan Kunlun adalah juga antara nama yang biasa diberikan oleh mereka merujuk Melayu purba.Dua petunjuk ini memang kuat,bahawa ada negarakota Melayu di Indochina sejauh wilayah Burma pada hari ini.Tidak hairanlah pengkaji Khmer mengatakan rekod Angkor menunjukkan ada sebuah wilayah city-statesMelayu di Battambang dalam wilayah Kemboja pada hari ini.Jika orang Cina Purba menyebut negeri Melayu sebagai Mo-Lo-yu,maka pemerintah Angkor menyebutnya sebagai Ma-la-yang," saya memandang mata biru Sophie.
"Saya setuju dengan awak,Siti,mujurlah Yazakumar,wakil pemerintah di utara Arakan telah mengarahkan pembinaan inskripsi Myazedi.Dari sini kita dapat menyahkod bahasa Pyu yang sudah pupus melalui 3 lagi bahasa lain yang dipahat pada batu bersurat itu..." Sophie terhenti apabila saya memotong.
"...Burma,Mon dan Pali...ya tiga bahasa yang juga dipahat bersama,bijak putera Kyansittha (seorang raja dari Dinasti Pagan) itu."
Prasasti Myazedi |
Saya memunggah salinan-salinan manuskrip-manuskrip berbahasa Pali yang ditemui di seluruh Burma terutama di kawasan negarakota Pyu paling selatan iaitu Sri Ksetra.Sri Ksetra adalah tapak arkeologi yang paling besar berbanding tapak-tapak arkeologi Pyu city-states yang lain.Dipercayai Sri Ksetra pernah berhubung dengan beberapa kerajaan atau empayar Asia Tenggara yang terkenal seperti Champa,Funan,Tambralinga,Pan-Pan,Chih-Tu dan empayar maritim Sriwijaya.Manuskrip-manuskrip ini sempat difotokan oleh mubaligh,pegawai kolonial,pedagang dan pengkaji dari Eropah.Kemudian spesimen foto lama tadi diproses semula ke dalam bentuk digital dan dinaiktarafkan mutunya.
Pyu adalah satu kaum berbahasa Tibetan-Burma yang dipercayai terawal menduduki kawasan yang dinamakan Myanmar pada hari ini.Malah orang Burma banyak menyerap sebahagian budaya dan bahasa Pyu ke dalam ketamadunan Burma,sama seperti yang mereka lakukan kepada orang Mon terutama ketika kebangkitan kerajaan Pagan.Hari ini sejak jatuhnya semua negarakota Pyu ke tangan orang Burma dari kerajaan Pagan,maka perlahan-lahan orang Pyu pupus ciri-ciri kebudayaan mereka,bahasa dan identiti.Semua orang Pyu telah terserap ke dalam kebudayaan Burma.Menjelang abad ke-13,orang Pyu lenyap sepenuhnya dari muka bumi.Perlu dicatatkan di sini,hubungan orang Pyu dengan orang Burma seperti hubungan orang Melayu dan Jawa;adik-beradik serumpun.Bahasa Pyu dekat dengan bahasa Burma Kuno.
"....ayat ini mengatakan,dari garis raja-raja kami warisan Sri Ksetra dan Tagaung memerintah negeri ini dengan dharmapala dan kemuliaan shakya...," Sophie membacakan salah satu terjemahan dari manuskrip dalam kelompok fragmen bernombor 55."Pada hari ini,gigi Sang Buddha selamat ditahbiskan di dalam Pagoda Seribu Syurga.Para pendeta memandikan para pendosa dengan air suci dari Tambrabhumi..."
"....berhenti.Saya rasa di situ," mata saya ke kanan dan ke kiri.Memikirkan sesuatu.Sophie menyandarkan bahunya pada tubuh kerusi.
"Yes...Tambralinga!" saya dan Sophie seakan-akan menjerit serentak."Wait...wait.." tiba-tiba saya menukar suasana.Saya tersedar sesuatu.
"Tambra bermaksud kemerah-merahan.Kita boleh katakan juga perkataan 'tambrabhumi' bermaksud 'Tanah Merah'.."
"Chih-tu?" mata Sophie bersinar.
"Hmmm.....," saya terkenangkan Tanah Merah di Kelantan.Tempat itu memang misteri.Pyu city-states,Tambralinga,Chih-Tu,Tanah Merah,Lawasangharata,Chiang Mai,Pagan.....oh...senarainya akan berterusan.Bisnes maritim orang Melayu pada masa lalu telah menghubungkan 'puzzle-puzzle' yang hilang dengan kerajaan-kerajaan orang Pyu dan Mon.Boleh dikatakan sistem beraja orang Kelantan boleh dijejak sehingga era abad ke-2 Sebelum Masehi dengan kenyataan bahawa raja-raja Melayu dahulu menghantar anak-anak mereka ke merata Indochina,membuka negarakota dan dirajakan oleh kaum-kaum Tibetan-Burma atau Mon-Khmer.Ini ada dikisahkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
Menyebut tentang Hikayat Merong Mahawangsa,ia lebih menceritakan susur galur raja-raja dalam 'federation' Segenting Kra (Kra Isthmus),Langkasuka yang terkenal itu.Langkasuka ialah sebuah empayar yang menggabungkan beberapa negarakota Melayu dan Mon di sepanjang Segenting Kra sehingga mencapai Dvaravati,'grand Mon city-states' yang terletak di tengah Thailand sekarang ini.Langkasuka adalah penerus Kedah Tua,kerajaan purba yang mempunyai catatan yang agak meriah dalam rekod negara-negara luar.Hubungan orang Melayu dari kerajaan Kedah Tua dan Langkasuka dengan negarakota-negarakota Mon menyaksikan pengaruh-mempengaruhi terutamanya dari segi dialek bahasa Kedah pedalaman yang pekat,anda akan jumpa beberapa perkataan Mon-Khmer di dalamnya.Mungkin juga perkataan-perkataan itu adalah asal dalam bahasa Melayu namun di'Mon-Khmer'kan.Kita kurang pengetahuan berkenaan dengannya sementelah kita kekurangan ahli linguistik yang punya minor dalam bidang sejarah dan arkeologi.Perlu dicatatkan di sini,kadangkala dialek-dialek Malayu-Mon itu kerapkali dicop sebagai 'Siam' dan hari ini Siam dirujuk sebagai orang Thai di Thailand,satu bangsa tiada kaitan sama sekali dengan Malayu dan Mon.
"Lihat ini Siti...," sebuah foto lama keadaan di dalam ruang suci sebuah kompleks pagoda di Bagan.Kelihatan banyak relik di dalamnya,bersusun-susun.Keterangan menunjukkan foto ini diambil ketika era Perang Inggeris-Burma Ketiga.Di antara relik-relik seperti kitab-kitab suci,gulungan-gulungan fabrik bertulisan dan lainnya terselit sebilah pisau berkeluk-keluk.
"...adakah ini..."
"Kris?You mean that?" saya merenung foto itu.
Anawrahta (1044–1077) telah menubuhkan Empayar Pagan,dengan menakluk banyak negarakota Mon yang tersisa.Kemudian mereka menuju ke selatan dan bertemu dengan beberapa negarakota-negarakota kecil yang bertutur dalam bahasa Melayu loghat utara!Sehingga kini,orang-orang Melayu di selatan Burma adalah keturunan orang Kedah.Malah nama Banjaran Tenasserim diambil dari bahasa Melayu 'Tenang Siram'.Orang Burma dan kita telah berhubung lama sebelum era Sriwijaya!
"...Pyu city-states seperti Halin,Beikthano,Maingmaw,Binnaka juga mempunyai jaringan perdagangan dengan kerajaan Kedah Tua dan Langkasuka.Seperti yang kita maklum,Malay city-states di Segenting Kra mempunyai kelebihan akses ke perdagangan laut antarabangsa,manakala faktor geografi Pyu city-states menghadkannya untuk terlibat aktif dalam perdagangan maritim.Jadi Pyu city-states bertindak sebagai hub-hub pengumpulan hasil hutan dan pertanian untuk keperluan pelabuhan-pelabuhan entreport Langkasuka dan Kedah Tua," kata Sophie.
Saya teringatkan Pong,pemuda Thailand yang menjadi secret admirer saya.Dia bersungguh-sungguh mengajak saya ke sebuah kuil purba di Ranong.Katanya dia ingin menunjukkan secarik kain suci yang tergantung di sebuah palang di sana.Masuk ke kuil purba itu,sami menunjukkan isyarat sesuatu.Pong tunduk berlutut.Saya masih berdiri.Pong memandang saya dengan wajah berkerut.Dia menarik tangan saya.
"Pong,saya tidak boleh berbuat begitu.Agama saya melarang saya menunjukkan apa-apa tanda penyerahan pada patung-patung.Beritahulah sami itu,senyuman manis saya adalah tanda menghormatinya kerana lebih tua dari saya," saya menjelaskan sebaik mungkin agar Pong tidak tersinggung.
"Ok...ok...nevermind.Your sweet smiles,saya kira sami itu tidak berkecil hati malah Lord Buddha akan bergembira bila melihat senyuman awak yang seksi itu..." Pong mengenyitkan mata ke arah saya.
Saya menggeleng-gelengkan kepala dengan mulut sengaja dimuncung-muncungkan sambil mata menjeling ke arah lain.Nakal sungguh!
Pong membawa saya ke satu ruangan yang nampak sulit.Di dalamnya terdapat satu patung Buddha sederhana besar.Pong mendongak.Saya pun mendongak.SElembar kain kuning lusuh yang mendebarkan tergantung melayang-layang.Oh,apa yang saya nampak?
Ketika kerajaan Sukhotai (1238–1583) mula melebarkan pengaruhnya di utara,raja-rajanya mula membuat hubungan dengan Tambralinga di selatan.Satu fakta yang jarang diketahui,agama Buddha Theravada yang dianut oleh orang Thai sekarang adalah hasil dari tindakan raja-raja Sukhotai mengimport sami-sami Melayu dari Tambralinga.Sesetengah pengkaji (majoritinya nasionalis Thai) selalu menulis bahawa ajaran Buddha Theravada di Thailand,berasal dari sami-sami Sri Lanka.Sebenarnya,majoriti pengaruh Buddha Theravada orang Thai awal adalah dari sami-sami Tambralinga.Ini kerana ketika kerajaan Chola menyerang Sri Lanka,ramai sami terbunuh sehingga ada catatan mengatakan raja Sri Lanka ketika itu,Vijayabahu meminta Anawrahta,raja Burma menghantar sami-sami untuk menyegarkan kembali agama Buddha di sana!Jadi ini bertepatan dengan catatan sejarah yang mengatakan pada sekitar abad ke-12 dan 13,Tambralinga atau Sri Dharmaraja menjadi pusat pengembangan agama Buddha yang terpenting.Sebab itu apabila raja Patani memeluk Islam,raja Ligor (Sri Dharmaraja) masih pekat dengan agama Buddhanya.Walaupun bersaudara,namun kerana perbezaan agama,raja Ligor sanggup bermusuh dengan Patani dan menyebelahi kerajaan Siam (Ayutthaya) yang seagama dengannya.Kita maklum bahawa Ligor dilantik menjadi 'supervisor' oleh Kerajaan Siam (Ayutthaya dan dinasti Chakri) untuk mengawal negeri-negeri Melayu utara.
Meneliti riwayat-riwayat Mon,Pali,Pyu juga Khmer menginsafkan saya betapa konotasi 'Melayu berasal dari Sumatera' atau 'Melayu pelarian dari Sumatera' berdasarkan sejarah Melaka yang kurang difahami adalah kenyataan yang teramat jumud,sempit,kebudak-budakan dan tidak berpelajaran.Memahami riwayat-riwayat dari kaum-kaum Indochina ini membuka pandangan yang teramat sempit perihal bangsa Melayu yang selama ini tidak atau kurang kita ketahui.Betapa kita punya sejarah di merata-rata Asia Tenggara.Di semenanjung,di Borneo,di Sumatera,di Jawa,di Filipina hingga ke Pasifik dan tanah besar Asia,Indochina.Jika menuduh Melayu dari Sumatera,bagaimana dengan orang Melayu utara dan pantai timur yang punya sejarah beribu tahun dengan Funan dan Champa serta hubungan istimewa dengan orang Mon,Khmer dan Burma jauh sebelum kewujudan Sriwijaya dan Majapahit?
Damn!Kita selama ini menjadi musuh kepada apa yang kita tidak fahami.
Memahami diri sendiri rupanya begitu sukar.Kelak kita akan tahu siapakah diri kita yang sebenarnya.
"...I fell asleep, and watched tv
Woke up in my Mother's arms!!!"
Paksu melalak lagi.Saya memandang ke arah pintu bilik paksu.Saya berjalan bertatih ke arah pintu dan mengetuk-ngetuk pintu dengan botol susu saya.Paksu masih melalak lagi.Saya pun mengetuk-ngetuk dengan lebih keras.Tiada kedengaran suara paksu.Pintu terkuak,wajah paksu terpacul."Woi budak kecik,nak apa?"
"Nak ainnnnyiin anyii paksuuu..."
"Masuklah...dok diam-diam situ," Paksu membenarkan saya masuk walaupun dalam nada tidak mengalu-ngalu.
Saya memerhatikan paksu melalak lagu Dive,Aneurysm,In Lithium dan seterusnya...dia semakin lupa dunia dan terlompat-lompat sambil memegang gitar karannya.Tiba-tiba saya meluru ke depan dan mengetuk-ngetuk botol susu ke kotak amplifier milik paksu.Paksu masih melalak.Kemudian saya memusing-musingkan penutup botol,meniru perbuatan ibu bila mengisi susu ke dalam botol.
Saya pun menyimbah air susu ke badan amplifier paksu.
Tiba-tiba keadaan senyap sedikit.Saya ketawa.Bertepuk-tepuk tangan tanda gembira.Saya seperti telah berjaya menghapuskan kejahatan.Saya melompat dan ketawa lagi.Kemudian apa yang saya sedar,tubuh saya melayang dan tersepuk ke penjuru dinding!
Rupa-rupanya paksu menghempuk saya dengan gitar karannya!
Ibu terpacul serta-merta.Paksu masih tergamam.Ibu mendukung saya sambil mengusap-ngusap belakang saya.Saya seakan masih terdengar suara amukan atuk,dan aksi paksu terjun tingkap dan berlari entah ke mana.
Kini paksu bekerja di luar negara.Saya jarang menemuinya,cuma ketika Hari Raya setahun yang lalu,saya sempat bertemu dengannya.Bila saya bangkitkan kisah saya dihempuk dengan gitar,paksu tersengih-sengih malu,oh!cute nya paksu.Paksu masih tampan seperti dahulu.Namun tidak lagi memakai jeans yang tidak berbasuh berbulan-bulan.
Malam itu,saya memeluk bantal Garfield sambil berangan-angan.Wajah paksu hilang dan saya mula menyanyi perlahan mengikut muzik dari rumah pelajar-pelajar bujang itu.Saya menyanyi dan menyanyi,seperti paksu dahulu ketika menjiwai lagu-lagu grunge.Saya tidak sedar bila saya terlelap.
Grandma take me home 19x
I wanna be alone
*Sliver,Nirvana
~Srikandi
all apologies....