Saturday, May 12, 2012

"Sophie Jan Rothsmarck"


"Sophie Jan Rothsmarck"





Catatan Srikandi XI






 "Sophie Jan Rothsmarck"






"Saya merasa hairan dengan bangsa kamu,The Malays...," Sophie Jan Rothsmarck,gadis Jerman kelahiran North Rhine-Westphalia itu berkata kepada saya.

Saya memandang ke arahnya sambil memuncungkan mulut dan mengangkat kening."Apa yang kamu nak hairankan?"

Sophie tersenyum kecil ke arah saya.Dia meletakkan buku 'Recueil des Inscriptions du Siam: Inscriptions de Dvaravati, de Crivijaya et de Lavo' ke atas meja.Dia memandang saya sambil berpeluk tubuh."Saya tidak nampak apa yang istimewanya pada bangsa kamu.Kamu tidak mempunyai Colosseum atau Tembok Besar China.Negara kamu teramat miskin kesan-kesan bukti fizikal yang agung namun anehnya..."

"Apa dia?" saya mengerutkan dahi.

"Setiap catatan Imperial China mencatatkan nama-nama raja-raja city-states dan empayar kamu dari dinasti ke dinasti,para pengembara China mencatatkan kemewahan raja-raja kamu dan kemajuan fizikal kerajaan kamu seperti kota bertembok tinggi,istana dari emas dan sebagainya.Begitu juga catatan-catatan pengembara India,Parsi dan Arab.Mereka mengatakan empayar kamu tersangat luas.Maharaja memakai mahkota emas.Dan kota besar yang disaliri parit di sekelilingnya...."

Saya mengeluh panjang.


Can you feel my love buzz? 
Can you feel my love buzz?
Can you feel my love buzz?
Can you feel my love buzz?*


Paksu mencampakkan gitarnya ke katil.Saya berjalan terkedek-kedek menuju ke bilik paksu.Saya lihat banyak poster kugiran rock ditampal dalam bilik paksu.Poster Cromok 'Forever in Time'.Pearl Jam ketika album 'Ten'.Metallica ketika 'The Black Album'.Bilik paksu bersepah dengan kaset-kaset bertaburan jatuh dari rak ke lantai.Paksu masih terbaring lesu.Di sampingnya berhamburan nota-nota belajarnya dari ITM (sekarang UITM).Saya duduk di lantai sambil menunggu paksu bangun.Saya mahu paksu memetik gitar untuk saya.Kadang-kadang paksu mendukung saya sambil melambung-lambung saya ke atas.Saya akan ketawa terkekek-kekek.Gayat.

Saya tidak sabar lalu bangun dan menyentuh gitar paksu.

Ting...

Tringggg...

Tinnngg...

Paksu terjaga.Matanya bulat memandang saya."Hoi,budak kecik!Jangan kacau paksu,pergi main jauh-jauh!".

Saya senyum menyeringai ke arah paksu."Nak anyin paksuuuu....!"

Paksu menangkap saya lalu diribanya saya."Nak geletek?"

Saya ketawa terkekeh-kekeh."Aaaa nakkk gletekkk,nak anyyinnn..."

Paksu menggeletek pinggang saya.Saya menggeliat sambil ketawa terkekeh-kekeh.Paksu ketawa melihat gelagat saya."Budak comel,duduk sini.Paksu nak main lagu baru..."


Paksu memainkan lagu 'The Man Who Sold The World'.Lagu ini pernah dibawakan oleh Nirvana ketika konsert 'MTV Unplugged in New York' pada 18 November 1993.Perlu dicatatkan bahawa lagu ini bukanlah ciptaan Kurt Cobain mahupun Nirvana sendiri.Ini adalah cover song di mana penyanyi asalnya ialah David Bowie,seorang penyanyi British yang terkenal.Lagu ini sebenarnya mula dikenali secara meluas di seluruh dunia selepas di 'cover song' kan oleh Nirvana walaupun ada artis lain yang turut sama menyanyikannya, sebagai contoh Lulu dan Nine Inch Nails.Menariknya apabila David Bowie menyanyikan lagu ini selepas fenomena Nirvana,generasi terkemudian mengatakan David Bowie membawa cover song dari Nirvana!

"Sesuatu yang begitu aneh bagi saya.Bila saya melawat Malaysia,saya tidak nampak sesuatu dari kesan-kesan kerajaan hebat yang dihebohkan dalam riwayat-riwayat dinasti China mahupun pengembara mereka.Misalnya catatan Chang Chun,duta dinasti Sui yang melawat Chi tu dalam abad ke-7 Masehi:

Kerajaan Chi-tu,yang sama bentuk dengan Funan,adalah terletak di laut selatan.Melalui laut,ia boleh dicapai lebih dari 100 hari perjalanan.Warna tanah di tempat itu adalah merah,dengannya nama kerajaan itu dinamakan.Di timurnya ialah kerajaan Po-lo-la,di barat ialah kerajaan Po-lo-suo dan di selatan ialah Ho-lo-tan.Di utaranya ialah laut.Negeri ini keluasannya beberapa ribu li (1 li bersamaan 6.667 meter persegi).Nama keluarga rajanya ialah Qu-tan,namanya pula ialah Li-fu-dou-sai,"Sophie membacakan rekod kerajaan Sui tentang satu kerajaan yang hilang di kawasan Kelantan-Patani.

Catatan tentang Chi-Tu


Sophie menyambung lagi,"Catatan dari pengembara dan pedagang yang bernama Sulaiman yang mencatatkan satu kerajaan besar bernama Zabaj pada tahun 851 Masehi,kemudiannya dikomentar oleh Abu Zaid Hassan pada tahun 916 Masehi:

Raja Zabaj dikenali sebagai 'Maharaja'....dia memerintah ke atas pulau-pulau yang tidak terkira banyaknya.Pulau-pulau Sribuza,Rami...semuanya kepunyaan Maharaja.Kerajaan maritim Kalah juga di bawah takluknya...pulaunya sendiri adalah subur dan populasi penduduknya sangat padat dan berterusan" 

Saya mengecilkan mata.Serius berfikir.Saya teringatkan satu ceramah agama yang menceritakan kerajaan Nabi Sulaiman a.s yang memerintah seluruh dunia ketika itu.Tiada kerajaan sebelum dan selepasnya yang lebih hebat.Saya teringat akan penemuan kosakata bahasa Ibrani dalam bahasa Melayu terutama dari suku Minang dan kajian bahasa Melayu Kuno era Sriwijaya yang mengandungi beratus-ratus istilah Ibrani Kuno oleh pengkaji Sepanyol.Ada rahsia di sini.Ini bermakna ketika kerajaan Nabi Sulaiman a.s memerintah Israel Raya dan menjadi kuasa dunia kira-kira 1000 tahun sebelum Masehi (perkiraan sarjana Bible),terdapat hubungan antara pedagang Melayu dan Bani Israel.Mengapa kebanyakan orang Melayu memanggil 'father' sebagai 'abah' dimana dalam bahasa Ibrani (Hebrew) ia bermaksud 'father' (Abba)!Jadi ketika kerajaan Sulaiman a.s,kira-kira 1000 tahun sebelum Masehi,orang Melayu telah wujud!

Sophie menyambung kembali catatan pengembara Arab tentang Maharaja dan empayarnya:

"...setiap pagi,kami diberitahu,perbendaharaan kerajaan dibawa,seketul jongkong emas dalam bentuk batu-bata,ke hadapan maharaja yang mana untuk dilontarkan ke sebuah tasik berdekatan istana.Ketika maharaja masih hidup,tiada siapa yang berani mengusik jongkong-jongkong emas di dalam tasik itu.Apabila maharaja mangkat,penggantinya memerintahkan semua jongkong emas di dalam tasik dikeluarkan.Selepas dikeluarkan,emas-emas tadi dikira dan ditimbang,kemudiannya dibahagi-bahagikan di antara kaum kerabat diraja,para jeneral tentera,para hamba dan orang miskin.Bilangan jongkong emas dan beratnya dicatit ke dalam rekod istana dan prestij seseorang raja ditentukan berdasarkan jumlah jongkong emas yang mereka tinggalkan"



Saya menarik nafas.Seakan-akan begitu sesak dada saya.

Sophie memandang saya,"Siti,beritahu saya,beritahu orang-orang Jerman,dimanakah kerajaan emas kamu ini?Bagaimana teknologi jongkong emas boleh wujud di era awal sejarah Malaysia?Ketika Saxons,Norseman,Viking dan Celt berperang sesama sendiri di Jerman dan pesisir pantai Eropah,bangsa kamu mempunyai empayar yang mengeluarkan komoditi emas!It's weird...weird...weird..."

Saya seperti hendak menjerit memberitahu tentang penemuan loji-loji pemprosesan besi di Lembah Bujang yang baru-baru ini ditemui oleh sekumpulan pakar dari USM.Teknologi ini adalah satu-satunya ditemui di Asia Tenggara di mana tamadun lain tidak ditemui loji-loji pemprosesan logam seperti Angkor,Lavo,Mon,Burma mahupun Champa,apatah lagi Sukhotai atau Ayutthaya.Loji-loji besi ini membenarkan catatan seorang pengembara Arab,Abu Dulaf al-Muhalhil yang berasal dari Bukhara,telah singgah di Kalaha (Kedah) pada tahun 940 Masehi:

"Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang "qala'i" iaitu pedang Hindi yang tulen…seperti di negeri China, terdapat orang-orang yang tidak menyembelih ternakan yang mereka makan. Penduduknya mempunyai sistem keadilan dan mempunyai penjara serta hukuman denda.."

Kalaha (Kedah Tua) ketika itu adalah pemproses besi dan pengeluar pedang untuk dieksport ke luar negara.Pedang-pedang itu,melalui para pedagang India dan Parsi sampai ke tangan para Kaisar dan Kisra,askar-askar empayar Rom dan puak-puak Arab.Kedah juga dikenali sebagai 'Qala'i' oleh orang Arab dahulukala kerana keluaran pedang 'Qala'i' nya yang bermutu tinggi.

Dahulu,catatan pengembara Arab ini mengenai negeri-negeri Melayu pada zaman purba dikatakan fantasi dan khayalan 'The Arabian Nights' oleh sarjana Eropah era kolonial.Namun hari ini,penemuan demi penemuan di seluruh Asia Tenggara mengunci mulut mereka.

"Ok,ini semua bukan seperti kisah 'The Arabian Nights' (Hikayat 1001 Malam) jika kamu membuktikan di mana perginya kerajaan-kerajaan emas kamu itu?Sebelum saya melawat Malaysia,saya telah membaca sebahagian besar catatan Imperial China era Sui,Song dan Tang dan para jurutulis termasuk duta dan diari para pengembara China.Saya membaca rekod kerajaan-kerajaan era Vedic di India tentang 'the ancient Malay city-states' serta membaca prasasti tembaga Nalanda di India tentang keagungan Balaputradewa,Maharaja Sriwijaya.Kerajaan-kerajaan di India juga membina beberapa biara dan kuil untuk 'the emperor of Malays' ini dan sebahagiannya kini dimodifikasi oleh kerajaan-kerajaan selepasnya dan diwartakan sebagai kuil dinasti mereka.Dalam fikiran saya ketika itu,wow!Saya mesti lihat tempat asal semua keajaiban ini.Malaysia.Namun malangnya...saya hanya melihat Stadthuys dan A Famosa di Melaka malah replika kapal besar di muziumnya ialah kapal Portugis,Flor de la Mar...mana perginya kapal-kapal para penakluk dan pembina empayar maritim Asia Tenggara,seperti yang dicanangkan oleh para pengembara Arab dan China?Saya mahu lihat kapal 'The Viking of Orient' ini..."Sophie merenung saya tajam.Apa masalah dia?Seolah-olah saya yang bersalah dalam masalah yang saya sendiri pun tak faham.

Saya menghembus nafas,"Kamu sudah melawat Indonesia?"

Sophie mengangkat bahu."Mengapa pula Indonesia?"

"Sebahagian bukti fizikal empayar maharaja ada di sana..."

"Bukankah kamu dari Malaysia,mengapa saya harus pergi ke negara lain untuk mencari sejarah Malaysia?"

"...not just so called Malaysian history..ini sejarah The Malays...dahulu tiada negara-negara yang bernama 'Malaysia' atau 'Indonesia',these crap were created by imperialism.The Malays,adalah 'the skilled seafarers' dan 'knowledgeable in oceanography'.Sejarah mereka boleh ditemui merata-rata di seluruh Asia Tenggara.Rumah mereka ialah Asia Tenggara.Remember this again,their home is not only Malaysia...not only Indonesia...but Southeast Asia,Southeast Asia.."Saya melontarkan kata-kata.

Sophie enggan mengalah,"Jadi kamu hendak mengatakan tentang Borobudur?Kalasan?Candi-candi di Indonesia?Saya boleh terima jika kita bercakap tentang Sriwijaya.Tetapi bagaimana pula dengan Langkasuka?Juga sebuah 'federation' untuk semua city-states Mon and Malays?"

Sophie membacakan catatan Liang-shu (The History of Liang Dynasty) kira-kira 515 Masehi,

"...kota kerajaan Lang-hya-shu dikelilingi oleh tembok tinggi dan mempunyai dua pintu gerbang,menara-menara dan balai-balai.Raja mengenderai gajah dan dibayangi dengan payung putih dan pengibas.Raja diringi oleh bendera-bendera,panji-panji dan gendang.."

Saya seperti tahu apa yang ingin dikatakan oleh Sophie Jan Rothsmarck sebentar lagi.Ah,damn!

"Langkasuka tidak ada kaitan dengan Indonesia hari ini.Setuju?Langkasuka terletak dari kawasan Kedah-Kelantan,menyelusuri Segenting Kra hingga mencapai selatan Thailand Tengah.Ia menyatukan beberapa negarakota Mon dan Melayu dan menguasai pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Segenting Kra.Siti yang bijaksana...di manakah kota bertembok tinggi dengan dua pintu gerbang itu pada hari ini??"



Kota bertembok tinggi dan dua pintu gerbang.Kota bertembok tinggi dan dua pintu gerbang.


Kota bertembok tinggi


...dan dua pintu gerbang.




Saya merenung sungai yang hitam berkeladak di bandar Sungai Petani,Kedah.Saya termenung lama.Suasana senja di Sungai Petani amat mengasyikkan.Saya lihat beberapa budak-budak gothicberjalan berkelompok menuju ke CS (Central Square) dari arah stesen bas Sungai Petani.

Saya mahu ke Gunung Jerai.

Ada seorang lelaki pertengahan umur yang memanggil saya 'putri' mahu menemui saya.

Katanya di atas gunung itu ada sebuah istana raja zaman dahulu.Dia mahu saya 'tengokkan'.

Di dalam bas loncat,saya tertidur.Senja di luar memancarkan cahaya kemerah-merahan.Seolah-olah warna kain bidai di istana raja Ketomala dalam riwayat Kemboja.Dari jauh saya dapat lihat puncak gunung Jerai.Kemudian saya tertidur.

Saya lihat dalam mimpi saya wajah Pong dan Sophie Jan Rothsmarck.







*Love Buzz,Nirvana.Lagu asal oleh Robbie van Leeuwen.











~Srikandi
The Naga King's Daughter

No comments:

Post a Comment