Wednesday, December 7, 2011

Catatan SriKandi 4







Catatan Srikandi V:Rahsia dari Kemboja






"Saya mengakui bahawa kamu,Malay...juga Indonesian dan orang-orang Filipina adalah antara pribumi atau penduduk terawal Asia Tenggara,begitu juga dengan kami orang Khmer,dan orang Mon"

Saya mengalihkan pandangan kepada Nari,rakan saya dari Kemboja.Ketika itu kami berada di dalam The Library of Congress,Amerika Syarikat.Saya masih teringat peristiwa itu.Ketika saya menulis artikel ini,saya sedang berada di sebuah madrasah di utara tanahair.Malam yang dingin disertai hujan rintik-rintik bagaikan menggamit kenangan indah di Amerika.Entah mengapa,malam ini amat menusuk perasaan saya.Sayup-sayup kedengaran suara gadis-gadis sunti menghafal AlQuran di dalam bilik asrama.Ada yang membaca kitab.Saya membuka tingkap kayu dan melemparkan pandangan ke luar.Suasana kampung di waktu malam amat menggamit perasaan misteri.Saya memandang sebuah bukit yang berbalam-balam di hujung kampung.Sayup-sayup sawah padi terbentang di sebelah kiri.Saya menopang dagu di atas lengan berdekatan tingkap.Angin malam begitu menggigit.Namun saya tahankan.Saya biarkan angin itu menjamah wajah saya.

"Mengapa kamu berkata begitu?Bukankah kamu dahulunya menafikan kata-kata saya dahulu?Kamu berkata Melayu tiada asal-usul,entah datang dari mana..," saya meletakkan buku yang masih terbuka di atas meja sambil tersenyum memandang Nari,gadis Khmer yang berambut panjang bagaikan apsara yang terukir di tembok Angkor Wat.

Nari tunduk memandang buku-buku yang berselerak di hadapannya.The Indianized States of Southeast Asia (Goerge Coedes),Recueil des Inscriptions du Siam: Inscriptions de Dvaravati, de Crivijaya et de Lavo (George Coedes),Deux Itineraires de Chine en Inde (Paul Pelliot) dan beberapa lagi buku-buku tebal kelihatan berada di hadapan Nari.Nari memandang tepat ke arah salah satu buku yang terbuka.Pada buku itu terdapat satu gambar sebuah kuil purba Khmer,Beng Mealea yang terletak 40 kilometer dari timur Angkor.


'Blind door',Beng Melea


"Sebelum ini saya hanya berpura-pura di hadapan kamu.Saya sebenarnya telah tahu hubungan orang Melayu dengan Khmer seawal zaman Funan namun saya tidak dapat menerima beberapa hakikat di sana yang menyebabkan saya tetap berdegil mempertahankan pendapat saya," Nari menjawab dengan nada serius.

"Hakikat apa?" saya bertanya.

Nari hanya tersenyum hambar sambil melihat gambar Beng Mealea.

Saya berbaring di atas katil.Saya memandang alang-alang.Saya masih terkenangkan perbualan saya dengan Nari.Entah mengapa,ketika saya cuba untuk melupakan Melayu dan sejarah gelapnya di sini,semakin banyak pula petunjuk dan bayangan-bayangan perasaan tentang apa yang sebenarnya berlaku beribu tahun dahulu di utara Malaysia sehingga ke Indochina.

Suara gadis membaca AlQuran masih sayup-sayup kedengaran.Saya tiba-tiba menitiskan air mata.Saya tidak mampu menahan hati yang resah gelisah di sini.Sudah beberapa kali saya histeria dan pengsan.Namun gadis-gadis madrasah di sini amat cekap menenteramkan diri saya.Kebanyakan dari mereka sebaya dengan saya.Namun mereka penuh dengan ilmu agama dan hafaz AlQuran.Alangkah baiknya jika saya menjadi seperti mereka.Tenang dan tenteram dengan AlQuran di dada-dada mereka.Tetapi di dada saya tiada AlQuran.Saya hanyalah seorang gadis yang miskin ilmu agama.Saya tiada apa-apa amal yang mampu dibanggakan di hadapan Tuhan.Mereka tidur dengan tenteram selepas menghafaz ayat-ayat suci.Tetapi saya saban malam diganggu bayangan puteri celaka yang menggamit-gamit tangannya.Apa lagi yang dimahunya?Saya benar-benar tidak faham.

"Hakikat bahawa Ibu kami bangsa Khmer,iaitu Mera ialah seorang puteri Malayu"

Saya memandang tepat ke arah Nari.Nari bersandar dan memeluk tubuh.Dia mengangguk perlahan sambil tersenyum.

"Adakah mereka tahu tentangnya?" saya masih memandang Nari.Saya seakan masih tidak percaya.

"Sebahagian dari mereka.Tetapi saya telah menemui beberapa perkara yang membuktikan hal ini.Saya cuba untuk bersikap nasionalis terhadap bangsa saya namun nama 'Malayu' itu sendiri banyak dikaitkan dalam riwayat-riwayat Khmer purba,akhirnya saya mengalah," Nari merenung ke arah foto Beng Mealea.





Darah Naga


"Apa perkara-perkara yang membuktikan tentang 'dakwaan baru' kamu itu," saya memancing.


The Library of Congress


 Nari tersenyum ke arah saya.Beberapa pelajar kelihatan sedang membelek-belek buku di rak buku.The Library of Congress adalah perpustakaan terbesar di dunia dari segi jumlah buku.Ia mengandungi 32 juta katalog buku dan 61 juta manuskrip.Sudah semestinya 'syurga' bagi ulat buku seperti saya.

"The King of Serpent," Nari menunjukkan ke arah sebuah manuskrip Khmer abad ke-16,yang memaparkan lakaran seekor naga dikelilingi air laut."Ia adalah Naga Laut Mohodhara dalam tradisi Khmer.Legenda mengatakan bahawa Mera,adalah anak kepada The King of Serpent,atau Naga King.Mera kemudiannya mengahwini Kaundinya atau Sri Kambu.Seperti yang anda tahu,nama 'Kh-mer' itu sendiri dipercayai kombinasi dua nama ini;Kambu dan Mera."

Saya tersenyum.Semua itu ada dalam kepala saya.Tetapi saya begitu teruja dengan manuskrip Khmer itu.

"Kaundinya dan Mera.Bagaimana dengan Cham?Kamu setuju pendapat saya tentang orang Cham yang juga mempunyai legenda puteri yang mengahwini Kaundinya?Malah mereka memahatnya di Mi Son iaitu tempat suci mereka pada masa silam," ujar saya.

Nari menarik nafas panjang."Saya cuba menafikan yang ini,namun setelah mengunjungi Mi Son sendiri ketika lawatan ke Vietnam pada 2 tahun lepas,hati saya kuat mengatakan yang legenda Kaundinya dan Mera ini berasal dari orang Cham."

Angin malam terus menderu-deru masuk ke dalam bilik.Kain langsir berkibar-kibar perlahan.Kak Mashitah melarang saya membuka tingkap pada waktu malam.Namun malam ini saya melanggar kata-katanya.Saya mahu menghadapi sendiri puteri jahanam itu.Saya telah memulangkan kembali sanggul emas yang saya jumpa di Banteay Srei.Namun gangguan itu datang lagi.Saya pernahbermimpi dan mengigaukan puteri Champa yang memakai 'headgear' seperti penari Menora namun ia hanya datang dua kali sahaja.Kali ini puteri memakai mahkota berkerawang.Dia cuba bercakap sesuatu,tetapi saya tidak dapat mengecam bahasanya.Ia bukan bahasa Khmer atau Mon.Selepas berkata-kata,puteri itu tersenyum ke arah saya dan melambai-lambai.

"Ini adalah Naga Mohodhara.Manuskrip ini adalah kain yang mengandungi mantera-mantera kuno yang dilukis di atasnya menggunakan dakwat organik," Nari menunjukkan ke arah foto satu kain kuning yang dipenuhi lakaran haiwan suci dan jelmaan dewa,dikelilingi rajah-rajah ganjil dan tulisan Khmer purba.Saya memerhatikan sahaja foto dalam buku tebal itu.

"Apa motif kamu menunjukkan tentang gambar naga-naga ini?" tanya saya.

Nari mendekatkan wajahnya kepada saya."Saya ada terbaca tentang mitos yang mengatakan bangsa Malayu berasal dari Naga Laut Mohodhara ini.Ia ada tertulis dalam riwayat-riwayat Mon dahulukala."

Tiba-tiba saya teringatkan Hikayat Merong Mahawangsa.Merong bermaksud 'ular besar' atau 'naga'.Mahawangsa ialah nama dinasti,sepertimana dinasti Viravamsa dan Padmavamsa.'Vamsa' menjadi 'Wangsa' dalam bahasa Melayu adalah berasal dari Sanskrit,kemudiannya berubah menjadi 'bangsa'.'Mahawangsa' kemungkinan besar bermaksud 'wangsa besar' atau 'keluarga besar'.Saya mula mengesan sesuatu.Jika saya dapat 'trace' balik sejarah Mon sebelum era Sriwijaya,saya pasti dapat mengetahui siapakah 'The Serpent King' itu.

Saya bertanya,"Mengapa orang Mon?Mengapa mereka yang mempunyai mitos tentang Malayu?"



Nari menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum menyindir ke arah saya."Bangsa sendiri pun tidak menahu,itulah sebab saya katakan dahulu sebagai provokasi terhadap kamu,bahawa bangsa Malayu tidak tahu berasal dari mana.Entah timbul dari mana.Sebelum saya jumpa kamu,saya pernah mengatakan demikian kepada beberapa orang pensyarah dan pelajar Malayu.Mereka hanya tersengih-sengih dan yang lucunya ada yang mengangguk-angguk;entah dia setuju entah tidak.Sebab itu di negara kamu orang-orang Cina sudah berani mengatakan Melayu itu pendatang.Di Kemboja,orang-orang Cina di sana telah diasimilasikan ke dalam kehidupan Khmer,dan mereka menjadi Khmer bukan sebab paksaan seperti yang berlaku di Thailand dan Indonesia.Mereka diasimilasikan dengan menggunakan sejarah Khmer yang menakjubkan.Orang Cina mengaku kehebatan sejarah kami;kagum dengan Angkor Wat dan Beng Mealea."

Tiba-tiba saya merasakan,hanya Malaysia sahaja yang begitu toleran dengan kaum-kaum lain;membenarkan sekolah berasaskan kaum dibuka sewenang-wenangnya sementara negara-negara Asia Tenggara lain menekan kaum Cina supaya berasimilasi dengan budaya mereka.Bukan sahaja kenyataan siapa pendatang tidak kedengaran,malah sekolah berasaskan kaum pun sama sekali diharamkan.

Saya cuba menduga,"Apa yang istimewanya dengan Malayu?Di Malaysia tiada Angkor Wat atau Beng Mealea."

"Ya,itulah yang saya fikir pada awalnya.Di Malaysia tiada apa-apa binaan yang mampu dibanggakan kamu,bukan?Saya memikirkan Malayu mungkin berasal dari 'sea-gypsies' atau orang dari hutan rimba,maaf...saya tidak bermaksud menghina tetapi ini pandangan awal saya.Tetapi...."

"Tetapi apa?"

Nari terdiam.Dia mengerutkan dahinya."Anehnya,sejarah bangsa kamu bertebaran di seluruh Indochina.Catatan-catatan dari China menceritakan kehebatan empayar kamu.Batu-batu bersurat bertebaran di Asia Tenggara sehingga ke India yang menceritakan nama dinasti-dinasti raja kamu.Riwayat Mon mengatakan raja kami,Suryavarman I yang membina Preah Viharn adalah Malayu.Saya semakin bingung dengan kenyataan ini.Semakin digali,semakin saya tidak dapat menafikan betapa besarnya peranan Malayu kepada sejarah Indochina dan Asia Tenggara."

Saya tersenyum dan berkata,"Jika kamu tidak memandang Malaysia sahaja sebagai tempat tinggal Malayu,kamu akan jumpa lebih banyak lagi rahsia.Borobudur,kamu kenal Borobudur?"

"Ia adalah bangunan Buddha yang terbesar di dunia,"ujar Nari.

"Siapa yang bina?"

Nari menjawab,"Ya,saya maklum tentang raja Sailendra dan Mataram Kuno."

Saya menunjukkan foto Angkor Wat,"Lama sebelum Angkor Wat atau Beng Mealea atau Banteay Samre dibina,raja Sailendra telah membina Borobudur.Mereka hanya menuliskan prasasti dalam dua bahasa sahaja,iaitu..."

"...Old Malay & Sanskrit,"sampuk Nari.Matanya bersinar.

Saya mengiring badan saya sambil kepala saya berbantalkan lengan.Angin malam tidak menderu-deru lagi seperti tadi.Namun suhu di dalam bilik semakin dingin.Suara gadis membaca AlQuran sudah tidak kedengaran.Mereka mungkin sudah tidur untuk bangun tahajud nanti.Sekali sekala angin datang menerpa ke arah tubuh saya yang hanya dibaluti baju kurung nipis,namun saya biarkan sahaja kedinginan malam menyakiti tubuh saya.Saya masih terkenangkan selepas saya berkata tentang raja Sailendra dan Borobudur,Nari sekali lagi menunjukkan ke arah foto Beng Mealea,sebuah kuil purba yang dipercayai dibina seawal abad ke-12,ketika pemerintahan Suryavarman II yang turut membina Angkor Wat yang terkenal itu.

"Sebab itu saya beritahu kamu,bahawa sejarah Malayu begitu membingungkan.Apabila saya menggali lebih dalam sejarah Kemboja,saya seakan-akan melihat bahawa raja-raja Khmer dan Malayu bersilih ganti memerintah Kemboja.Jayavarman,Suryavarman,Jayaviravarman,Dharanindravarman,Bhavavarman dan seterusnya adalah nama-nama raja Kemboja dahulukala dan saya sebagai pengkaji sejarah,kini sukar menentukan yang mana benar-benar berdarah Khmer dari Chenla."

Nari menyambung,"Legenda Mera sebagai puteri kepada The King of Serpent.The King of Serpent atau Naga King digambarkan tinggal di sebuah pulau,iaitu digambarkan tanah yang dikelilingi air.Pulau itu bernama Kok Thlok.Ketika Kaundinya sampai,dia diceritakan terdampar di sebuah pulau.Kemudian dia bertemu dengan Mera dan melangsungkan perkahwinan di pantai pulau itu.Soalan saya yang sehingga kini tidak terjawab,bagaimana Mera tinggal di pulau sedangkan Indochina bukan pulau tetapi tanah besar Asia.Kemudian di dalam satu riwayat tentang kedatangan Sri Kambu atau Kaundinya ini ada menyatakan juga bahawa tempat bernama Kok Thlok ini telah ada raja Cham yang memerintah.Lihat di sini," Nari menunjukkan satu perenggan di salah satu buku-buku tersebut.

"In the year 1 of the Buddhist era [commonly beginning with Buddha's death in 543 B.C.], the king of the Chams is shipwrecked near the Dangrek Mountains, where he forms a new state and also becomes ruler over Kouk Thlok. In the year 100 of the Buddhist era, King Atichavong of Indraprastha hands over portions of his kingdom to his sons; to the fourth, named Preah Thaong, he gives the southern part. As a result of disobedience, Preah Thaong is later exiled together with his people.He arrives at Kouk Thlok, displaces the Cham ruler, and himself becomes king. Later he meets the daughter of the naga king on the beach. A marriage ceremony takes place in the subterranean kingdom, after which the naga king creates a realm on earth for his son-in-law by drinking up the ocean. The new land is named Kampuchea," Nari membacakan perenggan tersebut.

"Ini diambil dari satu riwayat diraja Khmer yang diterjemah oleh penterjemah Perancis bernama Moura pada tahun 1883.Di sini saya begitu terpegun apabila mengetahui orang Cham telah memerintah Kok Thlok seawal 500 tahun Sebelum Masehi menurut riwayat diraja ini.Kemudian legenda mengatakan The King of Serpent telah bertindak menyedut semua air dan menjadikan Pulau Kok Thlok sebuah tanah besar dan dinamakan Kampuchea."

Saya mendengar dengan penuh teliti apa yang keluar dari mulut Nari,gadis Khmer.

"Siapa Cham?Cham ialah satu suku yang terkelompok dalam Malayo-Polinesia.Bahasa mereka mendekati bahasa Aceh dan Bornean Malay.Dari mana mereka datang?Bukti dari catatan sejarah menyatakan bahawa raja Champa pernah memerintah Wat Phu di Laos kini.Sebab itu kawasan itu dinamakan Champassak.Kuil Khmer di sana dikatakan berasal dari kuil-kuil Cham."

Seketika saya tersenyum sendiri.Di dalam “The Shipwrecked Sailor” iaitu sebuah riwayat berusia kira-kira 2050 tahun Sebelum Masehi di Mesir Purba tepatnya ketika era Kerajaan Pertengahan,ada menyatakan kapal-kapal Mesir Purba yang terdampar di sebuah pulau.Kemudian mereka berjumpa dengan seekor ular besar setinggi sepanjang 50 kaki.Ular itu boleh berkata-kata dan melayan mereka dengan baik.Ular itu malah mendakwa dirinya raja Punt,iaitu nama pulau tersebut.Ada diterangkan gambaran wajah 'ular' itu.Dia memakai celak mata yang tebal dan mempunyai janggut.Dan jika kita perhatikan topeng Tutankhamun dan raja-raja Mesir Purba yang lain,kita akan dapati karakter ular di dahi,mata yang bercelak tebal dan janggut.Ahli arkeologi agak bingung mencari di manakah pulau Punt itu.Di Laut Merah tidak ada pulau!




"Bukankah saya pernah beritahu anda tentang Punt di Borneo?Pelliot sorang sejarahwan,ada menyatakan kononnya Kaundinya pernah memerintah sebuah negeri di Kalimantan pada abad ke-6 Masehi.Lem Chuck Moth,sejarahwan negara anda mendakwa Sri Kambu atau Kaundinya bukan berasal dari India tetapi dari satu tempat di Kepulauan Melayu," jelas saya.

"Kesimpulannya...,"Nari seolah-olah meminta jawapan.

"Kesimpulannya ialah apa yang anda dapat dari lawatan ke Mi Son di Vietnam 2 tahun lepas," saya tersenyum.

Legenda tentang naga memang telah lama berakar umbi dalam masyarakat Melayu purba.Orang Jakun iaitu salah satu suku Proto-Melayu mempunyai legenda naga mereka sendiri.Legenda naga Seri Kemboja dan Seri Gumum adalah berasal dari mitos suku Jakun ini.

Nari merenung kembali foto Beng Mealea."Beng Mealea ini sebenarnya menyimpan satu misteri.Sebagaimana rahsia bangsa kamu."



Beng Melea


"Apa maksud kamu?"

"Sebagaimana sebahagian rahsia Malayu berada di tangan Khmer,begitu juga jika kamu memahami rahsia di Beng Mealea."

Nari tersenyum ceria sambil memegang erat tangan saya.Ketika itu saya merasakan satu perasaan aneh;seolah-olah seorang saudara yang jauh terpisah kembali bertemu.

Saya tidak sedar bila air mata saya menitik lagi.Kini Nari telah menyambung pelajarannya ke peringkat Master.Dia tua 5 tahun dari saya.Cita-citanya ialah menjadi ahli arkeologi.

"Nari,saya ingin bertanya satu soalan yang amat penting," kata saya sebelum kami keluar dari The Library of Congress Reading Room.

"Apa dia?" ujar Nari sambil memandang satu mosaic melambang Dewi Minerva.

"Apakah panggilan orang Khmer Purba kepada bangsa saya pada masa silam?" saya memandang wajah Nari dengan penuh berharap.

Nari tersenyum ke arah saya sambil berjalan laju ke hadapan tanpa menghiraukan saya.Saya tiba-tiba merasa marah dengan tindakannya seperti mempermainkan saya.Tiba-tiba Nari menoleh ke belakang dan menjerit.

"Ma...la...yu!!!"

Beberapa pengunjung perpustakaan terbesar di dunia itu kelihatan menoleh ke arah Nari.Seorang pengawas perpustakaan seperti mahu berjalan ke arah Nari,namun Nari cepat berjalan menyusup ke balik dinding dan hilang entah ke mana.




Jam menunjukkan pukul 1 pagi.Saya menutup tingkap.Kemudian saya merenung ke arah ukiran palang kayu yang tersusun pada tingkap.Benar.Beng Mealea menyimpan rahsia yang terpendam.Ukiran palang kayu pada tingkap rumah lama itu membuatkan saya seolah-olah berada di hadapan Beng Mealea.Beng Mealea bermaksud 'kolam seroja'.Mealea,Mala dan Malayu.

Malam itu saya tidur nyenyak tanpa gangguan.

















~Srikandi
"Mala Malayu iva Malayam raja"

No comments:

Post a Comment